Pertanyaan Anda ?

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL(JPNIN)

Tabika Perpaduan mula diperkenalkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat, Lembaga Perpaduan
Negara, Jabatan Perdana Menteri. Pada ketika itu Lembaga Perpaduan Negara telah dipertanggungawabkan ke atas semua
perkara berhubung dengan soal-soal perhubungan kaum dan perpaduan negara. Sebanyak 25 buah kelas Tabika Perpaduan
diwujudkan sebagai projek rintis di pinggir bandar dan bandar. Matlamat utama penubuhannya pada ketika itu adalah untuk
memupuk semangat muhibah dan perpaduan antara kaum.



Latar Belakang Tabika Perpaduan

JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL(JPNIN)


Pada peringkat awal penubuhan Tabika Perpaduan, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kebajikan Tabika Perpaduan (JKTP) yang berperanan untuk menjalinkan kerjasama dengan guru bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti di luar kelas bersama komuniti. Pada tahun 1997, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan (JPTP) telah ditubuhkan bagi menggantikan JKTP.

Seiring dengan keperluan semasa, penubuhan Tabika Perpaduan telah diperluaskan di mana sehingga tahun 1997, sebanyak 1,073 buah Tabika Perpaduan telah ditubuhkan. Sejajar dengan perubahan ini, konsep Tabika Perpaduan juga ditukar daripada Konsep Muhibah kepada Konsep Pemasyarakatan Tabika Perpaduan. Konsep Pemasyarakatan Tabika Perpaduan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan komuniti setempat dalam aktivit-aktiviti Tabika Perpaduan termasuklah aktiviti kebajikan, kerohanian, keselamatan, rekreasi dan riadah.

Berikutan penubuhan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada 10 Mac 2020, konsep Tabika Perpaduan telah dimantapkan dengan memberi tumpuan kepada penghayatan pendidikan Rukun Negara dan nilai-nilai murni bagi memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara. Sehingga 31 Disember 2020, terdapat sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara. Penubuhan Tabika Perpaduan masih kekal dalam kawasan bandar dan pinggir bandar. Bermula tahun 2021, Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan memastikan penubuhan kelas-kelas baharu Tabika Perpaduan dilaksanakan secara lebih terancang.


OBJEKTIF

Membentuk Murid Yang Mempunyai Semangat Patriotisme dan Semangat Perpaduan
Murid dapat menunjukkan semangat cintakan negara
Murid dapat meraikan kepelbagaian kaum dan etnik yang ada di negara kita
Membentuk Kemenjadian Murid Dan Memperkembangkan Konsep Kendiri
Murid berpotensi untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta responsif dalam sesi pembelajaran
Murid menampilkan peribadi dan perwatakan yang positif

10 Inisiatif Baru

10 inisiatif baru telah dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan bagi memantapkan lagi peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam membentuk kemenjadian murid. 10 inisiatif baharu Tabika Perpaduan adalah tersebut merangkumi :

Modul Penghayatan Rukun Negara
Modul Kemahiran Jom Urus Diri.
Pelan kursus dan latihan guru Tabika Perpaduan
Buku Aktiviti Khusus Tabika Perpaduan;
Buku aktiviti dan Lembaran Kerja
Buku panduan pengajaran tahunan, mingguan dan harian
Buku pentaksiran harian dan bulanan
Buku pengurusan dan pentadbiran Tabika Perpaduan
Unit Naziran Tabika Perpaduan
Memantapkan imej dan identiti Tabika Perpaduan

Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan

Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara untuk memberi suntikan dan nafas baharu kepada program Pendidikan Awal Kanak-kanak Tabika Perpaduan. Matlamat pelan ini adalah untuk memperkukuh dan memantapkan peranan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam memperkembangkan potensi serta melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 ini merangkumi pemantapan dan pengukuhan yang menyeluruh meliputi aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), guru Tabika Perpaduan, tadbir urus, jalinan kerjasama dan sistem pemantauan. Bagi mencapai matlamat yang ditetapkan, Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021-2030 menggariskan enam (6) teras iaitu :

Memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran Tabika Perpaduan;
Memantapkan profesionalisme dan kepakaran guru Tabika Perpaduan;
Mengukuhkan jalinan kerjasama Tabika Perpaduan bersama komuniti; dan
Memantapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP);
Memantapkan tadbir urus pengurusan dan pengoperasian Tabika Perpaduan;
Memperkasakan mekanisme pemantauan dan penilaian pengurusan dan pengoperasian Tabika Perpaduan
Enam (6) teras ini adalah selari dengan aspirasi dan strategi Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030. Pelan ini juga adalah menepati aspirasi dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Sebanyak 14 strategi dan 40 program telah disusun dalam usaha untuk memperkasakan Tabika Perpaduan sebagai sebuah institusi pendidikan yang berupaya membentuk dan memperkembangkan potensi murid yang berumur di antara empat (4) hingga enam (6) tahun. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi aspek jasmani, emosi, sosial, intelek dan rohani berasaskan kepada penghayatan pendidikan Rukun Negara. Usaha mempertingkatkan kualiti Tabika Perpaduan yang dilaksanakan secara inklusif ini adalah bertujuan untuk memastikan semua murid berpeluang menerima pendidikan yang berkualiti dan menepati matlamat penubuhannya sebagai tapak integrasi untuk menyemai dan memupuk semangat perpaduan.


PENDIDIKAN KO-KURIKULUM

Tabika Perpaduan mengikuti dan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) ini mengandungi enam (6) tunjang sebagai asas utama pembelajararan iaitu :

Matlamat KSPK ini adalah untuk memperkembangkan potensi murid seawal usia empat (4) hingga enam (6) tahun secara holistik dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Berdasarkan matlamat dan enam (6) tunjang yang digariskan di bawah KSPK tersebut Kementerian Perpaduan Negara telah membangunkan modul pendidikan khusus bagi Tabika Perpaduan berasaskan Rukun Negara. Elemen kenegaraan dan perpaduan yang merupakan nilai tambah yang diterapkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di Tabika Perpaduan adalah bertujuan untuk menyemai dan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam diri murid seawal usia empat (4) hingga enam (6) tahun. Nilai tambah yang dihasilkan bukan sahaja melalui aktiviti kurikulum tetapi turut diterapkan dalam aktiviti kokurikulum.


Post a Comment

0 Comments