Pertanyaan Anda ?

Gaya Hidup Sihat Perlu Keseimbangan Rohani dan Jasmani ... Perkongsian Oleh : Norkumala binti Awang.

Masyarakat negara kita sering terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan yang kronik dan akhirnya mengundang kepada kematian. Ia adalah kesan daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat dan ketidakseimbangan kesihatan rohani dan jasmani dalam kitaran hidup seharian. Kementerian Kesihatan kerap kali mengadakan kempen kesihatan untuk memberi kesedaran kepada awam tentang penjagaan kesihatan yang perlu dipupuk dalam budaya hidup kita malah perlu disemai sejak awal lagi agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang mempunyai masalah kesihatan.

Namun, adakah kempen gaya hidup sihat, "Tak Nak Merokok", makanan berkhasiat dan kempen kecerdasan mampu mengubah pandangan masyarakat kita tentang peri pentingnya menjaga kesihatan sekaligus mengamalkan gaya hidup yang sihat? Mungkin ada sesetengah golongan menyedari akan hakikat ini dan ada juga segelintirnya yang menganggap kesihatan hanya perlu dijaga apabila sudah berusia ataupun ada sesetengah golongan merasakan usia muda menjadi tiket untuk mereka terus kekal sihat. Bagi golongan ini, apakah jaminan mereka? Usahkan menunggu sehingga umur tua, sedangkan yang masih kecil lagipun sudah mengidap pelbagai penyakit.

Usia bukan jaminan untuk kita terus kekal sihat, tetapi usia boleh dijadikan satu pemangkin untuk kita menjaga kesihatan agar boleh menjalani hidup yang bermakna pada masa hadapan.

Kesihatan merupakan suatu kekayaan. Walau sehebat manapun seseorang individu, sihat masih lagi menjadi agenda utama yang perlu dikekalkan. Secara umumnya, umur 40 tahun adalah tempoh yang paling ketara pelbagai penyakit dikesan tetapi jika kita menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan sejak dari awal lagi, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil dan merupakan satu cara yang terbaik daripada kita mengubatinya. Peningkatan utama masalah kesihatan masyarakat di negara kita adalah kerana gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang termasuklah kurangnya kesedaran dalam menjaga keseimbangan dan kesederhanaan dalam hidup.

Gaya hidup yang berlebihan ini akan mengakibatkan tekanan dan akhirnya memberi kesan timbulnya pelbagai penyakit. Ruang lingkup keseimbangan rohani, jasmani, akli, dan sosial perlu dirangkumkan agar ia dapat diterjemahkan sebagai gaya hidup yang sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni. Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal seperti senaman.

Kita juga perlu menjauhkan diri daripada tabiat merokok yang boleh merosakkan kesihatan. Kesihatan jasmani yang baik juga akan memberi kesan kepada kesihatan rohani yang mantap. Makanan yang halal dan baik mampu melahirkan insan yang berkualiti dari aspek rohani dan jasmani. Kesihatan mental yang baik pula mempamerkan bahawa seseorang itu mampu mengawal tekanan hidup yang dihadapi secara bijaksana dan bebas daripada gangguan mental yang boleh mengubah keupayaan seseorang individu.

Manakala kesihatan sosial ialah, individu mampu menambah atau mengekalkan jaringan hubungan antara masyarakat yang akhirnya dapat mengekalkan kesihatan diri sendiri mahupun masyarakat umumnya. Gabungjalin antara kesemua unsur itu perlu diamalkan bagi setiap individu dalam suasana hari ini agar tidak mengundang pelbagai penyakit moden yang kini kian menular dalam masyarakat kita ...

Bersambung ...
( Baca lagi sambungannya ... Sila Klik Di Sini )

Post a Comment

0 Comments